Thursday, 25 April 2013

Masalah Dalam Membaca



Faktor  Fizikal

Faktor fizikal yang mempengaruhi masalah bacaan adalah seperti masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah neurologikal seperti kerosakan otak (serebral palsi, aphasia, terencat akal, dll), dan bermasalah kesihatan (epilepsi, masalah jantung, kurang zat makanan yang serius, dll).

Faktor Kognitif dan Bahasa


Kanak-kanak yang tahap kecerdasannya rendah dan yang terencat akal akan menghadapi masalah dalam bacaan yang serius. Selari dengan masalah ini ialah tahap kognitif yang rendah sehingga menyebabkan proses memperolehi kemahiran membaca menjadi sangat sukar. Manakala faktor bahasa melibatkan bahasa penerimaan (receptive language) yang melibatkan keupayaan semantik dan sintaksis.

Faktor Emosi, Persekitaran, dan Pendidikan


Masalah membaca kebiasaannya wujud seiring dengan faktor-faktor emosi yang memberi kesan yang besar terhadap penyesuaian individu dan sosial kanak-kanak. Faktor persekitaran bagi kanak-kanak yang kurang beruntung seperti tidak mendapat kasih sayang keluarga, kurang zat makanan, tiada galakan keluarga, dan sebagainya akan menjejas pencapaian mereka dalam pelajaran termasuk keupayaan membaca. Faktor pendidikan adalah seperti tidak menyediakan peluang pengajaran secara individu, tidak memberi perhatian terhadap kesediaan membaca kanak-kanak, mengabaikan kemahiran membaca dalam kebanyakan aktiviti sekolah, penggunaan teknik pengajaran yang kurang berkesan, dan sebagainya.






Faktor Individu


Bagi menentukan masalah dalaman pelajar yang sukar untuk membaca, kemahiran kognitif para pelajar juga perlu untuk diambil kira. Hal ini adalah kerana, setiap pelajar mempunyai kemahiran kognitif yang berbeza-beza walaupun umur mereka sebaya. Oleh sebab itu, kegagalan proses pembelajaran untuk mengajar mereka cara membaca juga mempunyai hubung-kait dengan kemahiran kognitif setiap pelajar tersebut. 

Faktor Psikologi

Tahap kecerdasan dan psikologi yang pelbagai dalam kalangan murid disebabkan oleh faktor genetik, kecacatan fizikal murid, persekitaran dan sebagainya yang berkecenderungan menimbulkan permasalahan untuk mempelajari dan mengingati sesuatu yang diajar oleh guru. Selain daripada itu, tahap kesihatan serta gangguan emosi sering menjadi punca masalah dalam proses pembelajaran. Murid yang mewarisi tahap kecerdasan yang rendah sering memperlihatkan gangguan emosi seperti bimbang, takut, marah dan berbagai-bagai perasaan lagi yang pastinya menjejaskan tumpuan dan perhatian terhadap proses pembacaan (Zulkifley Hamid, 2006).

Mudah Hilang Tumpuan Dan Lemah Daya Ingatan

Masalah dalaman yang dihadapi oleh pelajar dalam proses pembacaan juga berkait dengan masalah mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan. Hal ini adalah kerana peroses pembacaan memerlukan para pelajar untuk mengingati huruf dan bunyi bagi setiap huruf-huruf tersebut. Jika mereka bermasalah untuk mengigati setiap huruf tersebut maka proses pembacaan akan menghadapi masalah seperti membaca merangkak-rangkak dan tersangkut-sangkut. 



No comments:

Post a Comment